25 November 2013

Well Said


COPY PASTE dari kak Jie

Saya menaip catatan ini dengan hati berbelah bahagi. Dan jemari yang bergeletar hebat. Terlebih dahulu saya nyatakan pendirian saya, bahawa saya sama sekali tidak anti dengan kahwin muda, bahkan saya sendiri berkahwin pada usia muda, iaitu ketika berusia 18 tahun (2009), pada waktu itu saya berada di tahun pertama ijazah sarjana muda, bukan di timur tengah (seperti lazimnya student yang bernikah ketika belajar), tetapi di negara barat dan kini sudah dikurniakan 3 cahaya mata.

Bukanlah kahwin muda yang tidak saya setujui, namun sikap sesetengah di antara kita yang mengambil kesempatan kahwin muda sebagai tiket untuk mengguris hati wali kita, iaitu ibu bapa. Bukan sehari dua saya memerhati, bahkan sudah bertahun juga saya berdiam tentang perkara ini.

Saya lihat yang sudah berkahwin-ghairah menggalakkan rakan-rakan seusia berkahwin juga, manakala yang belum berezeki untuk bernikah resah mengeluh seolah-olah jika tidak berkahwin maka punahlah hidupnya. Ada yang sehingga sanggup berkongsi kenyataan-kenyataan yang jika dibaca oleh ibu bapa, boleh hancur luluh hati mereka.

Yang sudah berkahwin, cukup-cukuplah berkongsi kesweetan nikah muda kalian. Sekali sekala bercerita, tidak mengapa, berkongsi berita bahawa kalian sudah bernikah, untuk mengelak fitnah. Tapi kalau setiap kali buka mulut cerita nikah muda, up status pasal nikah muda, buat video nikah muda, buat dialog nikah muda

"Sedapnya buah mempelam ni. Syok tau kahwin muda".

"Terima kasih mama jahitkan baju raya. Best tau nikah muda".

"Malam ni makan KFC dengan keluarga. Seronoknya kahwin muda".

-Macam tak ada kaitan jekan. Yang sweet pun dah jadi tawar kalau selalu dicerita.

Demikian juga yang belum berezeki untuk bernikah. Kawallah diri. Jangan biarkan keinginan kita sehingga mengecilkan hati ibu bapa. Mereka kunci syurga kita. Saya lihat ada anak yang frust sebab ibu bapa tidak izinkan bernikah semasa belajar, berkongsi kenyataan yang saya gusar jika dibaca oleh ibu bapanya, ibu bapa boleh berjauh hati. Kenyataan seperti 'anak dara tidak boleh berkahwin sebab hantaran terlalu tinggi. Ibu bapa nak jual anak ke'. Mengapa tegar berkata begitu? Sedarkah kita ibu bapa membesarkan kita dari merah dua jari telapak kaki sampai kita jadi sebesar ini. Tanpa mereka tiadalah kita.

Apalah sangat nilainya seribu dua ringgit jika dibandingkan dengan segala jasa mereka? Memang, wang hantaran bukan wajib, bukan juga suruhan agama, namun jika ibu bapa mahukannya, carilah jalan untuk mendapatkannya, anggaplah ia sebagai sagu hati buat mereka.

Perlu sedar, kadang ada ibu bapa yang langsung tidak punya simpanan untuk menjalankan kenduri walimah anak mereka, wang hantaran itulah yang diharap buat belanja menampung kenduri tersebut. Jika tiada juga wang, bawalah berbincang. Jangan melulu melabel insan yang bertarung nyawa melahirkan, bergadai jiwa membesarkan dengan gelaran dan tuduhan yang bukan-bukan.

*sebagai seorang emak, saya juga sedar, seandainya perkara seperti ini (melabel ibu bapa perempuan sebagai jual anak) diperkatakan oleh seorang lelaki, nasihat saya, jauhilah lelaki seperti ini. What to expect? Belum bernikah sudah pandai melabel-label ibu bapa perempuan, sudah bernikah mungkin lebih teruk kelak.

Bagi mereka yang diizinkan Allah untuk bernikah pada usia muda pula, seperti yang sudah saya katakan, janganlah terlalu dipengaruhi rakan-rakan yang belum bernikah untuk bernikah juga. Simpankan sahaja sebahagian besar kesweetan berkasih sayang zauj-zaujah, bercinta selepas nikah itu untuk tatapan peribadi. Kerana setiap manusia berbeza jalan dan keperluan hidupnya. Setiap ibu bapa juga berbeza harapan dan keizinan yang diletak pada anak-anak mereka.

Jangan diguna alasan dakwah untuk memberi green light bercerita tentang kesweetan hidup kita suami isteri sehingga mengundang duka di hati insan lain.

Saya bagi satu contoh logik pada zaman sekarang. Kalau dalam 10 orang anak gadis remaja (berusia dalam lingkungan 17-23 tahun) mungkin hanya 2 orang yang diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda tetapi perlu berhenti belajar. Seorang diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda + boleh meneruskan pengajian, manakala selebihnya 7 orang, tidak diizinkan keluarga untuk bernikah pada usia muda, dan perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Rasa-rasa mana satu sasaran dakwah terbaik kita? Pastilah kumpulan yang lebih besar jumlahnya, dan yang lebih mudah untuk ditemui sasarannya dalam kelompok masyarakat.

Ajak mereka membina solehah dalam diri dengan menjadi anak solehah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan harapan ibu bapa (cemerlang pelajaran), jadi anak solehah dahulu, baru jadi isteri solehah. Bukan asyik bercerita tentang seronoknya dapat bernikah muda kepada kawan-kawan yang belum bernikah, sehingga mereka juga rasa terdesak untuk bernikah muda, sanggup merajuk, bergaduh, mencalar hati ibu bapa dengan permintaan yang di luar kesanggupan ibu bapa mereka.

Rasulullah menganjurkan kita supaya bernikah, untuk menunduk nafsu dan memurahkan rezeki. Namun Rasulullah ajarkan juga supaya berpuasa jika tidak berkesempatan bernikah (bagi aspek menjaga nafsu). Dan menjaga hati ibu bapa demi redha dan restu mereka (bagi aspek keberkatan hidup dan rezeki).

Saya harap nukilan dan curahan hati saya ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Tiadalah niat saya untuk mengguris hati sesiapa melainkan untuk bersama-sama mengajak sahabat-sahabat sekalian berkongsi sedikit kekhuatiran yang terpendam dalam hati saya sebagai seorang emak. Segala yang baik daripada Allah.

Salam sayang buat semua,
Dr (Umm Aqeef) Hammersmith Hospital, London, UK


Justification for my last entry. :)

No comments: